Kajian Tindakan, Ada Cara Yang Lebih Mudah Ramai Tidak Tahu

LOGIN  APDM

Log Masuk Modul

Pengurusan Murid

Sistem membantu guru-guru mengisi kehadiran pelajar setiap hari

Tugasan menjadi lebih mudah.

Kajian tindakan menjadi lebih mudah dan pelbagai masalah dihadapi dapat analisa dan diselesaikan dengan cara berterusan dan lebih sistematik. Kajian tindakan bukan lagi tugasan yang sukar jika guru-guru tahu ada cara yang lebih mudah. Dengan Template, Contoh dan Borang Skrip Memulakan Kajian Tindakan Melalui 6 Fasa tugasan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah.

Jika diarahkan membuat kajian tindakan selepas ini, ia bukan lagi satu beban. Bahkan, kajian tindakan kini menjadi mudah dengan borang yang sudah disediakan untuk guru-guru melengkapkan kajian tindakan masing-masing. Sebagai pendidik kita perlu berlaku jujur dalam melaksanakan tugas. Tidak ada lagi isu plagiat atau meniru kajian tindakan orang lain. Hanya dengan sedikit panduan dan borang dengan soalan-soalan berkaitan yang perlu dijawab, kini kajian tindakan menjadi lebih mudah. Setiap guru mampu melakukannya walaupun dengan kajian yang ringkas.

Apa itu kajian tindakan?

Kajian tindakan merujuk kepada penyelidikan yang dijalankan oleh guru untuk memperbaiki amalan dalam pengajaran dan pembelajaran. Contohnya, guru boleh menyelidik kaedah pengajaran dan bahan pengajaran yang digunakannya untuk meningkatkan lagi keberkesanan pengajaran guru.

Guru juga boleh menjalankan penyelidikan ke atas para pelajarnya bagi mengenal pasti kesukaran yang dihadapi oleh mereka dalam memahami sesuatu perkara atau topik yang diajar. Melalui penyelidikan yang dijalankan, guru akan beroleh maklumat bagi merangka suatu tindakan yang bakal diambil, diikuti oleh suatu penyemakan sama ada tindakan yang diambil itu berkesan atau tidak. Sekiranya tidak berkesan, maklumat baru akan dikumpul bagi membuat tindakan susulan dengan diikuti penyemakan seterusnya. Penyelidikan ini dijalankan secara berterusan sehinggalah penyelesaian ditemui untuk masalah yang dihadapi.

Oleh itu, kajian tindakan boleh dikatakan menghubungkan suatu penyelidikan dengan tindakan agar tindakan yang diambil oleh guru adalah tindakan yang berasaskan fakta atau maklumat yang diperoleh melalui penyelidikan yang dijalankan oleh guru sendiri sebagai pengamal.

Tujuan melaksanakan kajian tindakan:

1. memperbaiki dan menambahbaik amalan dalam pdpc secara sistematik.

2. mengenal pasti kesukaran yang dihadapi oleh pelajar dalam memahami sesuatu perkara atau topik yang diajar.

3. guru merangka suatu plan tindakan untuk menyelesaikan masalah dihadapi.

4. memastikan tindakan yang diambil berkesan.

Jenis Kajian Tindakan

Kajian tindakan boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:

  1. Kajian tindakan teknikal (technical action research),
  2. Kajian tindakan praktikal (practical action research) dan
  3. Kajian tindakan bebas (emancipatory action research) (Carr & Kemmis 1986; Grundy 1982).

Jenis kajian tindakan dan tujuannya:

  1. Kajian tindakan teknikal adalah lebih kepada keberkesanan dan kecekapan pendidikan atau lebih tertumpu kepada produk. Projek di bawah jenis ini (kajian tindakan jenis teknikal) dimulakan oleh pakar dari luar sebagai fasilitator dan pengamal-pengamal banyak bergantung pada fasilitator tersebut.
  2. Kajian tindakan praktikal pula adalah melibatkan fasilitator dan pengamal menyelidik secara bersama dan mengalakkan penglibatan serta refleksi kendiri pengamal-pengamalnya.
  3. Kajian tindakan bebas adalah masih melibatkan fasilitator dan pengamal penyelidik bersama secara kolaboratif. Kajian tindakan bebas menggalakkan tanggungjawab dikongsi sama rata oleh pengamal. Pengamal bebas daripada mengikut cara tradisi dan membuat keputusan demokrasi.

Calhoun (1993) membahagikan kepada tiga senario kajian tindakan iaitu:

  1. Kajian tindakan individu (individual action research),
  2. Kajian tindakan kolaboratif (collaborative action research) dan
  3. Kajian tindakan seluruh sekolah (school wide action research).

McNiff et al (2002) membahagikan tiga pendekatan kajian tindakan iaitu:

  1. Pendekatan interpretif (interpretive approaches) iaitu pendekatan yang mengakui kewujudan pengamal sebagai peserta kajian yang sebenar di dalam kajian;
  2. Pendekatan teoritik kritikal (critical theoritic approaches) iaitu pendekatan yang membolehkan orang menjadi sedar tentang kekuatan sejarah dan budaya yang telah mempengaruhi mereka dan situasi serta proses membuat teori adalah terhad pada kenyataan secara retorik daripada wujud dalam amalan mereka sendiri; dan
  3. Pendekatan teori hidup (living theory approaches) iaitu pendekatan yang menggalakkan pengamal sendiri yang mengemukakan penghuraian dan penjelasan mereka bagi pembelajaran mereka sendiri.

Walau apapun jenis atau senario ataupun pendekatan kajian tindakan yang dikemukakan, tujuan utama seharusnya adalah untuk menambahbaik amalan secara sistematik. Malahan tiga jenis kajian tindakan yang diutarakan boleh dilihat sebagai peringkat-peringakat perkembangan dalam amalan kajian tindakan. Kajian tindakan boleh dimulakan dengan kajian tindakan teknikal, perlahan-perlahan berkembang kepada kajian tindakan praktikal dan seterusnya kepada kajian tindakan bebas.

Kajian Tindakan bertitik tolak daripada proses refleksi (imbas kembali) yang dilakukan oleh guru terhadap tugas seharian mereka. Sebagai contoh, guru mengimbas kembali sesi pengajaran dan pembelajaran (p&p) yang telah dijalankan di dalam kelas terhadap murid-muridnya. Kekuatan dan kelemahan p&p diteliti sama ada murid dapat memahami apa yang ingin diajar serta masalah yang dihadapi oleh murid dan guru dalam melaksanakan p&p. Proses refleksi ini perlu dilakukan secara kritis agar guru dapat melihat pelbagai isu dan masalah yang wujud dalam melaksanakan tugas seharian.

Kajian tindakan dijalankan berpandukan proses berikut:

  1. Guru menjalankan refleksi ke atas satu-satu isu pengajaran dan pembelajaran yang hendak ditangani;
  2. Guru menyediakan satu rancangan yang sesuai untuk mengatasi masalah yang dihadapinya; dan
  3. Guru melaksanakan rancangan yang dihasilkan dan dalam proses pelaksanaannya guru memerhati kemajuan tindakan yang dijalankan itu.

Prosedur menjalankan kajian tindakan mempunyai 4 peringkat utama, iaitu:

  1. Merancang;
  2. Bertindak;
  3. Memerhati; dan
  4. Merefleks.

Prosedur menjalankan kajian tindakan diperincikan kepada 6 peringkat. Fasa-fasa adalah seperti berikut:

Fasa 1: Mengumpul data

Fasa 2: Mengesahkan andaian

Fasa 3: Tafsiran

Fasa 4: Tindakan

Fasa 5: Laksana dan memantau

Fasa 6: Analisis dan refleksi

Contoh Skrip Bagaimana Memulakan Kajian Tindakan

FASA 1: MENGUMPUL DATA

Keinginan untuk mengetahui apa yang berlaku dalam kelas / pengajaran saya (membuat rakaman audio).

” … Saya rasa seolah-olah saya agak cepat (abrupt) dalam teknik penyoalan saya dan tidak memberi murid masa yang cukup untuk membentuk jawapan kepada soalan saya.”

Keputusan:

“Saya meneroka lebih lanjut dan memastikan sama ada hal ini merupakan amalan pengajaran saya (tekal) atau hanya dipengaruhi oleh keadaan masa itu.”

FASA 2: MENGESAHKAN ANDAIAN

(Membuat rakaman sekali lagi dan disokong dengan pencerapan oleh rakan dan berbual-bual dengan murid selepas pengajaran)

FASA 3: TAFSIRAN

“… Saya dapati memang benar bahawa saya meminta jawapan dengan cepat selepas mengemukakan soalan dan agak kerap juga saya menjawab sendiri soalan saya itu.”

FASA 4: TINDAKAN

Membuat rujukan (Membaca) Saya terjumpa dengan literatur yang membincangkan perkaitan antara tempoh yang berlalu selepas guru mengemukakan soalan dengan kualiti
maklum balas (response) murid. Saya merasakan bahawa saya tidak memberi murid cukup masa untuk berfikir selepas mengemukakan sesuatu soalan. Keadaan ini mungkin menjejaskan proses berfikirkan mereka.

FASA 5: LAKSANA DAN MEMANTAU

Saya merangka satu rancangan bagi mengubah tingkah laku pengajaran saya itu dan menentukan kaedah untuk memantau teknik penyoalan saya. Saya mengambil masa yang agak panjang (lebih satu bulan) untuk melaksanakan rancangan ini.

FASA 6: ANALISIS DAN REFLEKSI

Saya mendapat bukti bahawa:
– respons murid bertambah baik;
– banyak jawapan aras tinggi yang diberikan murid;
– suasana kelas menjadi bertambah baik;
– murid menjadi lebih aktif dalam menjawab soalan; dan
– murid bertambah komited untuk mengikuti pelajaran saya.

Namun demikian saya dapati cara penyoalan saya masih belum menyeluruh (sebaran soalan). Ia menyebabkan masih terdapat beberapa murid yang pasif dan tidak melibatkan diri dengan aktif dalam pengajaran dan pembelajaran. Saya bercadang untuk meneruskan rancangan saya ini dan membaiki beberapa aspek kelemahan dalam rancangan awal.

Download Manual Kajian Tindakan

Borang Skrip Memulakan Kajian Tindakan Melalui 6 Fasa Kajian Tindakan

Fasa 1: Mengumpul Data

Apakah yang ingin anda capai dalam melaksanakan kajian tindakan ini?

Keinginan untuk mengetahui apa yang berlaku dalam kelas / pengajaran saya, lalu saya menulis kelebihan dan kekurangan kaedah pengajaran saya.

Apakah masalah yang dihadapi?

Masalah yang saya hadapi ialah:

Saya rasa seolah-olah saya ……………….. dalam teknik …………. saya dan tidak memberi murid masa yang cukup untuk …………. .

Apakah keputusan yang akan diambil untuk menyelesaikan masalah itu?

Keputusan yang saya ambil ialah:

Saya meneroka lebih lanjut dan memastikan sama ada hal ini merupakan amalan pengajaran saya (tekal) atau hanya dipengaruhi oleh keadaan masa itu.

Fasa 2: Mengesahkan Andaian

Apakah cara untuk memastikan masalah itu sebenarnya berlaku?

1. Membuat rakaman pdpc dan menganalisanya.

2. Menyediakan borang pencerapan yang sesuai.

3. Pencerapan oleh rakan atau pencerapan kendiri.

4. Menilai tahap keberkesanan pdpc.

5. Berbual-bual dengan murid selepas pengajaran.

Fasa 3: Tafsiran

Berdasarkan pemerhatian anda, apakah masalah sebenarnya yang berlaku?

Saya dapati memang benar bahawa saya …………….. semasa/ selepas …………….. dan agak kerap juga saya ……………………. .

Fasa 4: Tindakan

Apakah tindakan (rancangan) anda untuk menyelesaikan masalah ini? Apakah rasional tindakan anda?

1. Membuat rujukan lebih lanjut berkaitan masalah saya.

2. Saya terjumpa dengan literatur yang membincangkan perkaitan …….. .

3. Saya merasakan bahawa saya tidak memberi murid ……………… .

4. Keadaan ini mungkin menjejaskan proses ………………………. .

Fasa 5: Laksana dan Memantau

Bagaimana anda mengawal sebab masalah dan cara menyelesaikannya? Apakah strategi anda?  

Saya merangka satu rancangan bagi mengubah tingkah laku pengajaran saya itu dan menentukan kaedah untuk memantau teknik ………………. saya. Saya mengambil masa yang agak panjang (lebih satu bulan) untuk melaksanakan rancangan ini (tempoh masa).

Fasa 6: Analisis dan Refleksi

Apakah kesimpulan daripada kajian tindakan ini? Apakah bukti berdasarkan perubahan tingkah laku dan suasana pdpc? Apakah evidens yang menjadi bukti?

Saya mendapat bukti bahawa:
– respons murid bertambah baik;
– banyak jawapan aras tinggi yang diberikan murid;
– suasana kelas menjadi bertambah baik;
– murid menjadi lebih aktif dalam menjawab soalan; dan
– murid bertambah komited untuk mengikuti pelajaran saya.

Apakah kekangan dalam menjalankan kajian tindakan ini?

Namun demikian saya dapati ………………….. masih belum ……………. . Ia menyebabkan masih terdapat beberapa murid yang pasif dan tidak melibatkan diri dengan aktif dalam pengajaran dan pembelajaran.

Apakah cadangan menambahbaik kajian tindakan ini?

Saya bercadang untuk meneruskan rancangan saya ini dan memperbaiki beberapa aspek kelemahan dalam rancangan awal.

……..

Mudah sahaja bukan? Dengan menjadikan Borang Skrip Memulakan Kajian Tindakan Melalui 6 Fasa ini tugasan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah. Kajian tindakan menjadi lebih mudah dan pelbagai masalah dihadapi dapat analisa dan diselesaikan dengan cara berterusan dan lebih sistematik.

Selamat mencuba!

Add Comment